Aku berjalan seorang diri, melepasi laluan sunyi itu, menyusuri malam yang penuh dengan gelap gelita, dan hanya bertemankan bintang-bintang yang bertaburan di angkasa. Tiada angin yang menghembus. Berbekalkan semangat yang hampir ke tahap lemah, aku gagahi jua untuk melangkah pulang ke bilik.
Sendiri. Fikiran jauh menerawang entah kemana. Hanya jasad yang menggerakkan jisim untuk bekerja. Aku paksakan langkahku agar bergerak sepantas mungkin tetapi tiada kudrat. Perlahan-lahan langkah kutuntun, semakin lemah, bila-bila masa akan rebah jatuh kebumi.
Aku menyeka airmata yang sedari tadi bertakung di kelopak mata, agar tidak jatuh tumpah kepipi. Perlahan-lahan aku menahan sebak di dada. Ya! aku menangis. Tetapi didalam hati. tiada siapa yang tahu. Hanya aku dan Dia. Allah. Aku bergantung harap padaMu. Engkau yang berkuasa, Engkau yang merencanakn sesuatu dan Engkau jualah yang Mengetahui pengakhiran atas segala ujian yang diberikan keatas diriku.
Aku mempercepatkan langkah yang kian lemah, dengan harapan aku bisa menghempas badanku di atas tilam setibanya di bilik nanti. Ia adalah tempat yang paling kerap untuk aku melepaskan kemarahan, kesedihan, kemurungan dan sebagainya. Teman baikku.
Setiba di bilik, aku memulas tombol pintu. Serta merta mata bertentang mata dengan salah seorang dari 'roomate' yang kebetulan memandang tepat ke muka pintu. Aku hanya mampu melemparkan senyuman sekadar yang termampu. Penat. Hanya yang terzahir itulah yang mampu aku berikan tatkala diri dihujani pelbagai tekanan yang seakan tidak relevan pada umurku sekarang. Disaat ini, aku amat memerlukan sebenar-benar ketenangan, untuk aku muhasabah kembali, mengingati kembali apa yang sedang terjadi, dan saatnya untuk aku mengadu nasib pada yang Esa. Aku sangat-sangat lemah ketika ini.
Setiba di dalam bilik, lantas aku mengurus diri setakat apa yang perlu. Dengan cepatnya, aku menghempas badan ke tilam. Airmata yang sedari tadi kutahan-tahan merembes keluar tanpa henti. Penat. Sangat penat untuk mengeluarkan armata. Kurasakan kepala bepusing, mata berpinar-pinar. Aku seperti tidak mampu mengawal emosi lantas keluar menuju ke bilik air. Mengangkat wuduk. Airmata tetap mengalir. Hangat.
Aku teringat wajah ibu dan ayah. Wajah yang bersama-sama denganku tika senang dan susahku. Yang memahami dan menyayangi aku dengan setulus hati. Aku rindu! Ingin rasanya aku terbang pulang kerumah jika aku punyai kuasa sakti. Tapi apakan daya, aku hanya manusia biasa yang bergantung harap pada sang Murobbi.
"Allah takkan timpakan sesuatu ujian atas hambaNya yang tak mampu untuk tanggung ujian tersebut"
Masih terngiang-ngiang lagi nasihat yang ayahanda sampaikan ketika aku dilanda masalah. Ayah, seorang lelaki yang amat memahami setiap anak-anaknya walaupun tegas dalam didikannya. Aku bangga dikurniakan ayah sehebat beliau. Serasa tidak sanggup untuk aku menghubungi mak dan ayah ketika ini. Bimbang nanti tiada kata yang mampu aku ucapkan, hanya airmata dan esakan yang menjadi perantara. Mungkin akan menimbulkan kerisauan di hati orang tuaku. Lebih baik aku mendiamkan diri. Menanggung sendiri masalah yang aku sedang hadapi.
Di dalam coretan ini, aku meluahkan kesedihan. Aku menangis semahunya agar hari esok, aku bisa ceria seperti kembali, dengan senyuman yang sentiasa meniti dibibir, semangat dan azam yang baru. Malam ini, aku perlu muhasabah kembali, mencari ruang untuk mengenalpasti dan merungkai permasalahan yang menghantuiku sejak beberapa hari. Mungkinkah ada sinar kebahagian? Aku amat-amat mengharapkan. Dia yang mencaturkan sesuatu perkara dalam hidupku, aku harus mengadu padaNya. Moga hari esok, hilanglah segala masalah yang memberati kepala aku. Agar aku bisa tenang, setenang air dilautan..
No comments:
Post a Comment